Reaksi Serangan Kapitol Amerika Syarikat 2021

Donald Trump

Kenyataan Donald Trump semasa serangan Kapitol pada 6 Januari 2021. Video ini pada mulanya disiarkan di Twitter dan dikongsi di media sosial lain sebelum dikeluarkan dari semua platform kerana melanggar pelbagai dasar.

Pada 6 Januari, Trump menulis ciapan pada pukul 2:38 petang, "Tolong sokong Polis dan Penguat Kuasa Undang-Undang Kapitol kami. Mereka benar-benar berada di sisi Negara kita. Kekal aman!".[45] Beliau telah menghabiskan minggu-minggu sebelumnya untuk mempromosikan perhimpunan Saving America (Selamatkan Amerika).[46] Trump kemudiannya menulis ciapan pada 3:13 petang, "Saya meminta semua orang di Kapitol AS untuk kekal aman. Tiada keganasan! Ingatlah, KITA ialah Parti Undang-Undang & Ketertiban – hormati Undang-undang dan Polis-polis kita. Terima kasih!".[47] Pada jam 4:22 petang, Trump mengeluarkan pesanan video di media sosial. Video tersebut menampilkan beliau berkata kepada penyokongnya, "Pilihan raya ini ialah pilihan raya yang tidak masuk akal tetapi kita tidak boleh jatuh ke dalam helah golongan ini. Kita harus kekal aman. Oleh itu, pulanglah. Kami mencintaimu. Anda sangat istimewa. Anda telah menyaksikan peristiwa yang berlaku. Anda telah menyaksikan layanan buruk yang diperlakukan kepada orang lain. Saya turut bersimpati. Pulanglah ke rumah masing-masing dengan aman.[23]

Trump kemudiannya menulis ciapan: "Inilah kesannya apabila kemenangan besar pilihan raya ini telah dirampas dengan biadabnya daripada golongan yang setia kepada negaranya yang sejak sekian lama dilayan dengan teruk dan tidak adil". Beliau kemudian menyeru: "Pulanglah dengan cinta & aman. Ingatlah hari ini selamanya!".[24][48][49] Seorang penasihat Rumah Putih mengatakan bahawa Trump tidak melakukan sebarang tindakan lanjut bagi meredakan rusuhan itu. DIa menyambung lagi "Sekiranya kami dapat menyerahkan beliau kepada perusuh yang marah, sudah lama kami menyerahkan beliau kepada perusuh yang marah".[50]

Tidak lama selepas muat naik berkenaan, pesanan video Trump dialih keluar oleh Twitter, Facebook dan YouTube kerana melanggar dasar laman sesawang mengenai "integriti sivil" dan salah maklumat pilihan raya.[51] Eksekutif Facebook Guy Rosen menyatakan bahawa video tersebut dialih keluar kerana "ia menyumbang daripada mengurangkan risiko keganasan yang berterusan."[52] Petang itu, Twitter mengunci akaun Trump selama dua belas jam dan mengancam penangguhan kekal kerana "pelanggaran berulang dan berat terhadap dasar Integriti Sivik kami". Twitter juga meminta beliau mengalih keluar tiga ciapannya.[53][25] Keesokan harinya, Facebook dan platformnya, termasuk Instagram, mengumumkan bahawa Trump telah disekat di laman tersebut buat selama-lamanya.

Mike Pence

Pence menulis ciapan pada pukul 3:35 petang pada 6 Januari, "Serangan ke atas Kapitol kita tidak akan ditoleransi dan mereka yang terlibat akan didakwa dengan undang-undang sepenuhnya".[54] Kemudian, beliau berbicara dengan Senat ketika mereka berkumpul kembali pada malam 6 Januari dengan mengatakan, "Hari ini ialah hari yang gelap di Kapitol Amerika Syarikat... Kepada mereka yang telah membuat kekacauan di Kapitol kita hari ini, kamu tidak menang. Keganasan tidak akan pernah menang. Kebebasan menang. Dan ini masih Rumah Rakyat."[55][56]

Joe Biden dan Kamala Harris

Pada 6 Januari pukul 4:06 petang, Presiden terpilih Joe Biden memberi ucapan kepada negara dari Wilmington, Delaware dengan menggelar peristiwa itu sebagai pemberontakan dan menghampiri hasutan serta mengatakan bahawa "demokrasi kita sedang menerima serangan yang belum pernah terjadi sebelum ini".[57][58] Beliau meminta Trump untuk bersiar di televisyen kebangsaan dan menuntut beliau menghentikan bantahan.[59][60] Beberapa minit kemudian, Naib Presiden terpilih Kamala Harris mengulangi ulasan Biden dengan menulis bahawa tunjuk perasaan itu ialah "serangan terhadap Kapitol dan penjawat awam negara kita".[61]

Kongres

Ucapan Chuck Schumer, ketua Minoriti Senat selepas rusuhan

Ketua Majoriti Senat, Mitch McConnell menganggap serangan di Kapitol sebagai "pemberontakan gagal" dan berkata "Sekarang ini kita sudah kembali ke jawatan kita, kita akan melaksanakan tugas kita di bawah Perlembagaan dan untuk negara kita. Dan kita akan lakukannya malam ini juga."[62] Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer dan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi menggesa Trump "menuntut agar semua penunjuk perasaan meninggalkan Kapitol A.S. dan Markas Kapitol dengan segera."[63]Selepas pengumuman Pelosi bahawa penghitungan undi pilihan raya akan diteruskan pada malam 6 Januari, beliau kemudian berkata "marilah kita berdoa agar hasutan keganasan ini dapat memberikan penampakan kepada negara kita untuk pulih".[64]

Ahli Dewan Perwakilan, Cori Bush dalam satu ciapan, beliau berniat untuk memperkenalkan resolusi yang mengusulkan pengusiran "beberapa anggota Kongres dari Republikan yang menghasut serangan teror domestik ini melalui usaha mereka untuk menjatuhkan pilihan raya".[65][66]

Ahli Dewan Perwakilan dari Republikan, Adam Kinzinger mengecam keganasan itu dan menyifatkan peristiwa itu sebagai "cubaan rampasan kuasa".[36] Ahli kongres wanita, Liz Cheney, Ketua Persidangan Republikan Dewan Perwakilan, berkata, "Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Presiden membentuk kumpulan perusuh ini, Presiden menghasut kumpulan perusuh ini, Presiden mengarahkan kumpulan perusuh ini. Beliaulah yang menyalakan api."[67] Seorang lagi ahli Dewan Perwakilan, Mike Gallagher berkata "tidak pernah melihat perkara seperti ini sejak saya bertugas di Iraq".[68] Cathy McMorris Rodgers, yang merancang untuk menentang pengesahan undi elektoral, mengumumkan bahawa beliau tidak akan lagi membantah keputusan Kolej Elektoral setelah menyaksikan peristiwa "memalukan dan dilakukan ibarat seperti bukan rakyat Amerika" pada 6 Januari.[69] Beberapa-beberapa senator seperti Kelly Loeffler, Steve Daines, James Lankford, Marsha Blackburn, Mike Braun, dan Cynthia Lummis turut menarik balik bantahan mereka terhadap undi pilihan raya setelah menyaksikan keganasan kumpulan perusuh.[70] Senator Mitt Romney dari Utah berkata, "Apa yang terjadi di Kapitol A.S. hari ini adalah pemberontakan, yang dihasut oleh Presiden Amerika Syarikat" dan sebahagian daripada "serangan yang belum pernah terjadi terhadap demokrasi kita".[71]

Reaksi domestik lain

Terhadap perusuh

Kesemua empat bekas presiden—Barack Obama, George W. Bush, Bill Clinton, dan Jimmy Carter—mengecam serangan Kapitol, dengan Obama dan Clinton mengutuk Trump kerana menghasut keganasan.[72] Bush, yang jarang memberi komen mengenai masalah negara sejak meninggalkan jawatan presiden pada tahun 2009, mengeluarkan kenyataan yang mengatakan "ini adalah bagaimana keputusan pilihan raya dipertikaikan di republik pisang – bukan republik demokratik kita." Beliau juga "terkejut dengan perilaku semberono beberapa pemimpin politik sejak pilihan raya dan juga kurangnya rasa hormat yang ditunjukkan hari ini terhadap institusi, tradisi, dan penegak undang-undang kita."[73] Obama berkata "Sejarah akan dengan betul mengingati keganasan hari ini di Kapitol, yang dihasut oleh presiden penyandang, yang terus berbohong mengenai hasil pilihan raya yang sah, sebagai detik penghinaan dan rasa malu bagi negara kita." Obama juga menuduh parti Republikan enggan memberitahu kebenaran kepada penyokong mereka mengenai pilihan raya. "Naratif fantasi mereka semakin jauh dari kenyataan dan ini wujud berdasarkan kebencian mereka sepanjang tahun."[74]

William Barr, bekas peguam negara lantikan Trump mengecam keganasan itu. Beliau mengganggap ianya "keterlaluan dan satu penghinaan," sambil berkata bahawa tindakan presiden adalah "satu pengkhianatan terhadap jawatan dan penyokongnya". Beliau juga menambah bahawa "mengatur serangan untuk menekan Kongres satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan."[75][76] Bekas Ketua Staf Rumah Putih lantikan Trump, Mick Mulvaney mendesak Presiden untuk menghentikan serangan di Kapitol,[77] dan kemudian mengundurkan diri dari jawatannya sebagai Wakil Khas Amerika Syarikat ke Ireland Utara.[78] James Mattis, bekas jeneral Marin dan bekas setiausaha pertahanan lantikan Trump, dan Tom Bossert, bekas penasihat keselamatan tanah air lantikan Trump, mengecam presiden kerana mengaktifkan serangan dan menghancurkan kepercayaan dalam pilihan raya.[79][80]

Ivanka Trump, anak sulung perempuan presiden, dikutuk kerana menganggap perusuh di Kapitol sebagai "patriot Amerika" dalam satu ciapan Twitter yang akhirnya dipadamkan beliau sendiri.[81] Terry Gainer, bekas ketua polis Kapitol A.S. dan bekas bentara senat, menyifatkan tunjuk perasaan itu tidak pernah terjadi sebelum ini dalam penguatkuasaan undang-undang, dengan menyatakan bahawa "ini adalah orang ramai yang jauh lebih dibenci yang dihasut oleh presiden itu sendiri. Ini pasti sesuatu yang baru dalam perniagaan kita."[82]

Bekas duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Nikki Haley menyatakan "setiap orang Amerika berhak untuk mengadakan protes secara aman. Apa yang berlaku sekarang di bangunan Kapitol A.S. adalah salah dan ibarat bukan perbuatan rakyat Amerika. Kita lebih baik dari itu."[83]

Bekas anggota Kongres (R-FL) dan pengacara MSNBC, Joe Scarborough menggesa agar Presiden Trump, Donald Trump Jr. dan Rudy Giuliani ditangkap.[84]

Bekas pemangku pengarah CIA, Michael Morell (2010-2013) berkata, "Kita seharusnya menganggap apa yang berlaku [pada 6 Januari] adalah satu keganasan domestik."[85]

Banyak cawangan berita seperti CNN,[86] USA Today,[87] The Guardian,[88] The Washington Post,[89] dan CBS News,[90] mengkritik tindak balas polis terhadap serangan Kapitol yang berbeza dengan tindak balas polis terhadap tunjuk perasaan Black Lives Matter pada tahun lepas. Pada bulan Jun 2020, 5,000 anggota Pengawal Kebangsaan mengawal Rumah Putih semasa demonstrasi Black Lives Matter,[88] namun dalam usaha untuk menghindari ketegangan yang memuncak sejak tunjuk perasaan itu, datuk bandar Bowser memilih untuk tidak memanggil anggota Pengawal Kebangsaan dari negeri lain untuk demonstrasi pada 6 Januari 2021, menyebabkan kehadiran penguatkuasa undang-undang "agak sedikit" dan "tidak bersedia untuk menghadapi perusuh".[91][92]

Ketua pegawai eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg menulis bahawa "Trump berhasrat untuk menggunakan baki tempoh jawatannya di pejabat untuk melemahkan peralihan kuasa secara aman dan sah kepada penggantinya yang dipilih, Joe Biden."[93]

Reaksi antarabangsa

Lebih 70 negara lain dan pertubuhan antarabangsa semuanya telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap protes berkenaan dan mengecam keganasan yang berlaku, dengan beberapa suara secara khususnya mengutuk peranan Trump sendiri dalam menghasut untuk serangan itu.[94][95] Beberapa pemimpin dunia telah menyeru perdamaian, menggambarkan rusuhan itu sebagai "serangan terhadap demokrasi".[96]

Rujukan

WikiPedia: Serangan Kapitol Amerika Syarikat 2021 //geohack.toolforge.org/geohack.php?pagename=Seran... //www.worldcat.org/issn/0190-8286 //www.worldcat.org/issn/0261-3077 //www.worldcat.org/issn/0362-4331 https://apnews.com/article/election-2020-joe-biden... https://www.bbc.com/news/uk-politics-55580806 https://www.bbc.com/news/world-us-canada-55568613 https://www.bbc.com/news/world-us-canada-55583264 https://www.bostonglobe.com/2021/01/06/metro/heres... https://www.bostonglobe.com/2021/01/06/nation/watc...